CARA AMBIL UKURAN BADAN UNTUK BUAT BAJU

 cara membuat ukuran badan

Dalam jahitan, kita perlu tahu cara mengambil ukuran badan yang betul sebelum membuat pakaian. Kalau tidak ambil ukuran, hasil baju kita nanti ada masalah seperti tidak muat atau saiz yang salah. Nanti, kerja keras kita akan dianggap sia-sia sahaja selepas bersengkang mata menghadap proses jahitan yang panjang.

Disebabkan saya masih di tahap beginner dan tidak mahu rasa kecewa yang teramat sangat, saya terpaksa jugalah belajar mengambil ukuran badan yang betul.

Kenapa Ambil Ukuran Badan?

Mengambil ukuran badan yang tepat dapat mengelakkan beberapa masalah yang besar yang akan berlaku ketika menjahit nanti.

Ketika saya mula belajar menjahit pakaian, saya banyak menggunakan pola yang sudah siap untuk membuat baju sendiri. Saya banyak menggunakan pola dari buku jahitan Jepun.

Jika menggunakan pola seperti Buku Jahitan Jepun, anda perlu tahu saiz ukuran badan yang TEPAT sebelum menggunakan saiz yang ada di pola. Jadi, terpaksa jugalah tahu cara mengukur badan.

Setiap pola mempunyai saiz ukuran yang berlainan. Jadi, berhati-hati ketika memilih saiz di pola supaya sesuai dengan ukuran badan anda.

Di sini, saya akan tunjukkan cara mengukur badan yang tepat untuk orang dewasa.


Mengukur Badan Orang Dewasa

Sebelum membuat ukuran, pastikan anda menyediakan alat jahitan seperti berikut:

  • Pita pengukur baju: Kita akan menggunakan ukuran inci.
  • Rekod ukuran badan: Siapkan buku nota dan pen.

Pastikan anda menggunakan pita pengukur dari UK/German untuk mendapatkan ukuran yang tepat.

Daripada review di Shopee, ramai yang mengatakan ukuran pita di sini adalah tepat (walaupun made in China).

Ukuran Leher

Ambil tali pengukur dan ukurkan di sekeliling leher.



Ukuran Bahu

Pastikan anda dapat rasa tulang di hujung kedua-dua bahu. Kemudian, ukurkan dari tulang ke tulang secara lurus di belakang badan.



Ukuran Labuh Tangan

Diukur dari tulang bahu sehingga ke pergelangan tangan(mengikut labuh yang dikehendaki).


Ukuran Besar Lengan

Diukur ngam-ngam di sekeliling lengan, di bahagian atas siku. Jangan ukur terlalu ketat.



Ukuran Pergelangan Tangan

Diukur ngam-ngam di pergelangan tangan. Jangan ukur terlalu ketat.



Ukuran Lubang Lengan

Diukur dengan meletakkan tali pengukur di bawah ketiak dan tarik ke atas bahu.



Ukuran Bukaan Tangan

Saiz diukur mengikut saiz pergelangan tangan yang boleh dilepaskan ke bawah supaya baju mudah ditarik ketika mengambil wudhu’.



Ukuran Bahu Ke Mercu

Ukurkan secara lurus dari pangkal leher hingga ke mercu dan pastikan anda tidak menekan tali pengukur ketika mengambil ukuran.

*Mercu adalah bahagian dada yang paling tinggi a.k.a ‘puting’.



Ukuran Mercu ke Mercu

Diukur secara lurus dari mercu ke mercu. Jangan tekan tali pengukur ke badan. Ambil jauh sedikit pun tidak mengapa.



Ukuran Keliling Dada

Ukur sekeliling dada dan pastikan pita pengukur adalah lurus dan melalui mercu. Pastikan badan orang yang diukur memakai baju dalam(bra).



Ukuran Keliling Pinggang

Ikat pinggang munggunakan tali. Bahagian yang boleh diikat dengan tali itulah yang kita perlu ukurkan untuk mendapatkan ukuran di sekeliling pinggang.

*Jangan bukakan tali sehingga semua ukuran sudah diambil.



Ukuran Labuh Tengah Belakang

Diukur di bahagian belakang badan dari tengkuk leher sehingga tali yang diikat ke pinggang tadi.



Ukuran Labuh Baju

Labuh baju ditentukan oleh customer. Selepas membuat tanda, barulah anda mengukur dari tengkuk leher sehingga ke paras labuh yang ditanda.

Ambil ukuran satu di bahagian depan(melalui bahagian mercu) dan satu lagi di bahagian belakang badan. Pastikan tali pengukur tidak ditekan ke badan. Ukur lurus sahaja.




Ukuran Perut

Biasanya berada di bahagian pinggang ketika kita memakai seluar ataupun kain. Diukur ngam-ngam di sekeliling perut dan selari dengan garisan pusat.



Ukuran Keliling Punggung

Pegang tali pengukur di bahagian tepi badan dan gerak-gerakkannya sampai lepas ke bawah. Ukuran yang paling besar(yang dapat dilepaskan) adalah ukuran untuk keliling punggung. Jika tidak pasti, ulang semula dan cek ukuran yang paling besar tadi.

*Kalau ukuran perut lebih besar daripada ukuran punggung, ambil ukuran perut sebagai ukuran keliling punggung.



Ukuran Dari Pinggang ke Punggung

Minta customer duduk di kerusi dan ukurkan dari tali yang diikat ke pinggang tadi sehingga ke kerusi(bawah punggung).



Ukuran Dari Pinggang Ke Lutut

Diukur dari tali yang diikat di bahagian pinggang tadi sehingga ke bahagian bawah lutut.



Ukuran Dari Pinggang ke Tumit

Diukur secara lurus dari tali yang diikat di pinggang tadi sehingga ke lantai. Kemudian, tolakkan 1 inci dari ukuran tadi dan itulah ukuran dari pinggang ke tumit.

*Pastikan buka selipar dan kasut.



Ukuran Ketinggian Mengikut Kasut Tumit

Kalau membuat dress, pastikan dress itu menutup kasut. Ketinggian tumit kasut diukur mengikut kasut tinggi yang dipakai oleh customer nanti. Jika dia akan memakai kasut tinggu 5 inci, tambahkan sahaja ukuran 5 inci.



Kesimpulan

Dengan mengikuti cara ini, masalah seperti baju tidak muat, terlebih besar atau kecil, dapat dielakkan.

Jika membeli baju secara online, sila rujuk carta saiz baju tersebut dan bandingkan dengan ukuran badan anda yang sebenar. Jangan ikut saiz S, M atau L tanpa membuat ukuran yang betul.

Perlu diingat, setiap baju yang sudah siap dijahit mempunyai ukuran baju yang berlainan untuk setiap saiz.

Dengan mengetahui cara membuat ukuran badan ini, kita dapat menjahit saiz yang tepat dan memilih saiz baju yang betul walaupun dibeli secara online. Semoga Bermanfaat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 TUTORIAL MENJAHIT BEG UNTUK BEGINNER

5 GUNTING FABRIK UNTUK MEMOTONG KAIN

MENENTUKAN ARAH IRA(GRAINLINE) SEBELUM MEMOTONG KAIN