BELAJAR MENJAHIT DARI ZERO


Bagi yang pertama kali ingin belajar menjahit dari zero, anda perlukan mesin jahit.

Baru-baru ini, saya telah membuat review tentang 15 Mesin Jahit Portable Yang Sesuai Untuk Beginner yang dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Tapi apa sahaja mesin jahit yang saya cadangkan dalam post tersebut, tidak bermakna itu adalah mesin jahit yang terbaik untuk anda. 

Sebenarnya, ada beberapa aspek yang perlu diperhatikan sebelum membeli mesin jahit dan ada beberapa soalan yang kita perlu tanya kepada diri kita sendiri sebelum mengeluarkan duit untuk membeli mesin jahit.

Lebih-lebih lagi kalau anda tidak pernah menjahit dan tidak pernah menyentuh mesin jahit.

Agak memeningkan kepala nak memilih mesin jahit ni. Silap-silap boleh jadi stress sebab bingung nak pilih yang mana satu.

OK, saya nak kongsikan langkah demi langkah mencari mesin jahit yang sesuai dan terbaik untuk anda.

Secara spesifik, ada 7 soalan yang anda perlu jawab sebelum mencari mesin jahit yang sesuai. Soalan-soalan ini saya akan berikan sebentar lagi.

Tapi sebelum kita teruskan, saya nak kongsikan serba sedikit tentang rasa takut untuk menjahit.

Sebab bila berasa takut, kita tidak akan mampu menjahit apa-apa. Kalau dah mula menjahit pun, mungkin menjahit separuh jalan sahaja.

Sayalah salah seorang daripada mereka yang pernah berasa takut nak menjahit.

Jadi, saya nak terangkan tentang ini dahulu sebelum kita kaji dengan lebih mendalam tentang mesin jahit yang ingin dibeli.



Takut Menggunakan Mesin Jahit

Selalunya, beginner lah ada masalah ini.

Ada juga yang dah beli mesin jahit dan ada yang dapat mesin jahit dari keluarga, tapi mesin jahit itu disimpan di dalam almari sebab mereka takut nak menjahit.

Ada juga yang memang dah cuba menjahit tapi sebab benang asyik terputus atau jarum asyik patah, terus rasa takut dan berputus asa nak menjahit lagi.

Adakah anda salah seorang daripada mereka?

Sebenarnya, menjahit adalah satu hobi yang luar biasa. Bagi anda yang banyak menggunakan pemikiran ketika bekerja, cubalah membuat satu hobi yang kreatif seperti menjahit. 

Bagi saya, menjahit dapat membantu kita melupakan sebentar tekanan kerja dan dapat memberikan satu kepuasan TERUTAMANYA setiap kali berjaya menyelesaikan sesuatu projek jahitan.

Takut Kemalangan Ketika Menjahit

Saya tahu, kadang-kadang mesin jahit ni nampak menakutkan dan buat kita fikir yang bukan-bukan.

Ia seakan-akan hendak menyakitkan kita sebab jarum yang turun naik tu bergerak dengan sangat laju sampai rasa seram menyelubungi diri.

Kadang-kadang ada yang sempat membayangkan jarum tu menusuk-nusuk ke jari mereka sendiri. 

Cuba buat macam ini. 

Cuba tenangkan diri ketika menggunakan mesin jahit dan tekan pedal foot secara perlahan-lahan. Pastikan juga jari tidak berada terlalu dekat dengan jarum.

Atau boleh guna tips yang saya kongsikan di bawah ini…


Walaupun saya tidak pernah mengalami kejadian yang menakutkan seperti yang disebutkan tadi, tapi saya sendiri pernah melihat jari kawan saya ditusuk jarum mesin.

Jadi, jangan sesekali cuai ketika menggunakan mesin jahit.

Mesin jahit ini seperti kita membawa kereta, perlu sentiasa berhati-hati.

Yang penting, pastikan jari diletakkan di atas kain untuk memudahkan penggerakan kain tersebut ketika nak menjahit nanti.

Jangan letakkan jari terlalu dekat dengan jarum.

Kalau nak menjahit sesuatu yang kecil yang memerlukan jari berada lebih dekat dengan jarum, cuba gantikan dengan peralatan lain seperti penyepit atau kepingan kertas yang keras.

Selain itu, pastikan suis mesin jahit ditutup jika tidak digunakan lagi.

Dengan tips ini, risiko jari ditusuk secara tidak sengaja dapat dielakkan ketika menjahit nanti.

Takut Membuat Silap Ketika Menjahit

Nak taknak, pasti ada silap ketika menjahit. Saya tidak pernah jumpa orang tak pernah buat silap ketika menjahit.

Bagi saya, ketika menjahit pasti ada kesilapan yang kita buat seperti menjahit baju terbalik, benang jahitan tidak kemas dan sebagainya.

Sebab kesilapan itulah, wujudnya penetas (seam ripper).



Percayalah, semua orang akan berdepan dengan kesilapan. Saya pun tidak terkecuali.

Dari kesilapan itulah kita akan banyak belajar sesuatu yang baru.

Saya nak bagi tips:
  1. Bagi yang baru pertama kali nak menjahit menggunakan mesin jahit, sebaik-baiknya praktislah menjahit jahitan lurus dahulu(tengok video yang saya berikan tadi).
  2. Gunakan lebihan kain yang tidak dipakai lagi untuk praktis menjahit.
  3. Cubalah tutorial yang simple dan mudah.

Takut Guna Peralatan Menjahit Yang Salah 

Ada yang berasa takut dengan peralatan yang baru yang tidak pasti cara penggunaannya. 

Biasanya setiap mesin jahit tidak kira jenama apa pun mempunyai peralatan ‘basic’ yang sama TETAPI mungkin peralatan-peralatan tersebut diletakkan di bahagian yang berbeza.

Sebab itulah buku panduan mesin jahit(buku manual) perlu ada setiap masa.

Buku ini sangat membantu apabila kita terlupa cara penggunaan peralatan-peralatan tertentu dan buku ini juga mempunyai jawapan tentang masalah yang ada di mesin jahit kita.

Anda boleh lihat cara pemasangan benang di video ini(mungkin dengan menonton video membuatkan anda lebih faham daripada membaca buku manual).


Dengan melatih diri menjahit tanpa jemu, segala ketakutan yang anda rasakan akan hilang selepas merasakan betapa seronoknya aktiviti menjahit ini.

Yang penting, kita perlu tahu gol UTAMA kita.

Perlu diingat…

Anda tidak akan jumpa mesin jahit yang sempurna.
Anda tidak akan jumpa projek jahitan yang tiada cacat celanya.
Anda tidak akan tahu cara terbaik untuk mula menjahit.
Jadi, nikmatilah prosesnya walaupun mungkin ada sedikit halangan di sana sini.

Yang penting, jangan putus asa!

OK, rasanya dah cukup kita bercerita tentang mindset sebelum menjahit.

Sekarang, kita fokus tentang topik utama kita iaitu mencari mesin jahit yang sesuai.

Q&A Sebelum Membeli Mesin Jahit

Sebelum membeli mesin jahit, pastikan anda sudah tahu jawapan soalan-soalan ini:

Berapakah anggaran harga mesin jahit yang ingin dibeli?

Jika anda anggarkan harga mesin jahit RM1,000 ke bawah, sila rujuk 15 Mesin Jahit Portable Yang Sesuai Untuk Beginner.

Jika anda ingin mesin jahit industri yang lebih murah daripada harga pasaran, saya cadangkan beli yang second hand sahaja.

Apakah jenis mesin jahit yang anda ingin dibeli?

Mesin jahit portable? Mesin jahit tepi? Mesin jahit industri?

Sila buat survey jenis mesin jahit apa yang memenuhi keperluan yang anda inginkan. Cari sahaja di youtube sebab di sana memang ramai yang membuat review tentang pelbagai jenis mesin jahit.

Berapakah jenis jahitan yang anda perlukan?

Bagi seorang beginner(pemula) mungkin anda akan berasa sangat teruja dengan mesin jahit yang ada pelbagai jenis jahitan. 

Dari dulu sampailah sekarang, saya banyak menggunakan jahitan lurus dan zig zag sahaja. 

Melainkan kalau anda ingin membuat jahitan hiasan(deco), mungkin mesin jahit yang banyak jenis jahitan amat berbaloi dibeli.

Tapi perlu diingat, semakin banyak jenis jahitan, harga pun akan menjadi semakin mahal.

Adakah anda akan bawa mesin jahit ke mana-mana? Berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain?

Jika iya, anda perlu membeli mesin jahit portable yang ringan dan mudah diangkat.

Saya sendiri mempunyai mesin jahit yang mudah diangkat dan dibawa kemana-mana dan mesin jahit ini pun sudah disiapkan dengan pemegang sekali.

Adakah mesin jahit itu digunakan hanya di rumah atau digunakan untuk berbisnes?

Kalau mesin jahit itu hanya digunakan jarang-jarang dan hanya sekadar menjahit sebagai hobi, anda boleh membeli mesin jahit portable sahaja.

Tapi, kalau anda nak guna mesin jahit untuk membuat bisnes pakaian, saya cadangkan beli mesin jahit yang tahan lasak seperti mesin jahit industri.

Mesin jahit biasa seperti mesin jahit portable tidak boleh digunakan terlalu lama sehingga berjam-jam tanpa henti sebab ianya mudah panas dan perlu digunakan dengan penuh kasih sayang(manja sikit).

Berbeza dengan mesin jahit industri, mesin ini boleh digunakan dengan sangat kerap dari pagi sampai ke petang dan jahitannya lebih laju berbanding mesin jahit portable.

Apakah jenis kain yang ingin dijahit?

Adakah kain jenis ringan, tebal, memeri(stretchable) atau anda ingin menjahit fabrik kulit?

Kalau anda hanya menjahit kain cotton, berbaloi ada mesin jahit portable sahaja. 

Kalau anda ingin menjahit jeans, perlu diperhatikan TIDAK SEMUA mesin jahit boleh menjahit kain yang tebal.

Kalau anda ingin menjahit t-shirt, mungkin anda perlu mesin jahit tepi ataupun mesin jahit portable yang mempunyai twin needle.

Anda perlu pastikan jenis kain yang kerap anda gunakan nanti.

Adakah jenama mesin jahit itu mempunyai tempat servis dan sparepart yang mudah dicari?

Haa…yang ini pun penting juga sebab kebanyakan tempat servis mesin jahit hanya menerima jenama yang tertentu sahaja.

Paling popular adalah tempat servis mesin jahit jenama Singer. Mereka lebih mengutamakan jenama Singer untuk diservis berbanding jenama yang lain sebab sparepart nya sudah disediakan di situ.

Jangan anggap kalau mesin jahit itu murah dan jenamanya tidak pernah didengar, mesin jahit itu boleh pakai sparepart jenama apa pun. 

Salah tu… biasanya mesin jahit yang dalamannya diperbuat daripada plastik tidak ada sparepart dan biasanya akan memeningkan kepala tukang servis(biasanya ditolak untuk diservis).

Jadi, pilihlah mesin jahit yang berbaloi untuk digunakan dalam jangkamasa panjang.

Tips Membeli Mesin Jahit

1. Tahu Tahap Kemahiran Menggunakan Mesin Jahit

Adakah anda masih pemula(beginner), pertengahan(intermediate) ataupun pakar(advanced)?

Anda perlu tahu tahap anda dimana supaya anda boleh memilih mesin jahit yang sesuai mengikut kemahiran anda.

Jika anda seorang pemula(beginner), cukuplah ada fungsi:
  • One-Step Buttonhole.
  • Needle Thredder.
  • Foot Pedal Speed Adjustment.
  • dan lain-lain.

Jika anda ditengah-tengah(intermediate) atau pakar(advanced), anda mungkin perlukan:
  • mesin jahit yang ada lebih banyak fungsinya daripada mesin jahit yang ‘basic’.
  • mesin jahit yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti mesin jahit ‘basic’, tetapi lebih tahan lasak.

2. Mesin Jahit Manual Atau Mesin Jahit Berkomputer

Sebelum itu, saya nak jelaskan perbezaan di antara 2 mesin jahit ini.

Mesin Jahit Manual/Portable



Jenis mesin jahit ini mempunyai tombol dan setting yang perlu ditukar secara manual.

Mesin jahit ini tidak terlalu rumit untuk digunakan kerana mempunyai panduan yang mudah diikuti, mudah dijaga, mempunyai beberapa jenis jahitan yang tidak terlalu banyak dan harganya lebih berpatutan daripada harga mesin jahit berkomputer.

Kebanyakan mesin jahit yang saya senaraikan dalam 15 Mesin Jahit Portable Yang Sesuai Untuk Beginner adalah mesin jahit manual.

Mesin Jahit Berkomputer


Mesin jahit berkomputer mempunyai ciri-ciri yang biasanya tidak akan dijumpai di mesin jahit manual dan cara penggunaannya adalah agak rumit.

Boleh dikatakan kebanyakan ciri-cirinya adalah automatik dan mudah digunakan jika anda sudah tahu cara menggunakan komputernya.

Selain itu, mesin jahit ini boleh membuat jahitan hiasan dan sulaman dengan cepat dan hasil yang sempurna.

Tetapi, mesin jahit ini perlu diservis dan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Yang penting, jangan biarkan bahagian komputernya rosak.

Bagi pendapat saya, jika anda tidak mahu hantar mesin jahit untuk diservis secara kerap, pilihlah mesin jahit manual. Kalau suka semuanya dilakukan secara automatik, pilihlah mesin jahit berkomputer.

Setiap mesin jahit perlu diservis sekurang-kurangnya setahun sekali. Kalau anda menggunakannya dengan kerap, ia perlu diservis dengan lebih kerap juga. 

3. Nak Jahit Apa?

Yang ini kena pastikan betul-betul… apa yang anda ingin jahit?

Adakah anda nak menjahit face mask sahaja? Nak jahit baju kurung ke? Nak jahit langsir? Nak jahit seluar jeans? Atau nak alter baju sahaja?

Kalau nak jahit benda yang simple, anda boleh beli mesin jahit yang harganya tidak terlalu mahal dan mempunyai fungsi yang basic(asas).

Tapi perlu diingat, semakin banyak jenis jahitan yang ada di mesin jahit, semakin mahallah harganya.

Kalau anda rasa nak buat bisnes menjahit 3 pasang baju kurung sehari, lebih eloklah beli mesin jahit yang mahal sikit seperti mesin jahit industri.

4. Sewing Goal

Katakanlah anda seorang beginner dan anda ingin menjahit baju raya sendiri untuk hari taya akan datang. Jadi, anda perlu perhatikan apakah gol yang ingin dibuat sepanjang masa tersebut.

Fikirkan apakah langkah demi langkah yang anda perlu buat untuk mencapai gol tersebut.

Tapi, macammana kalau belum pernah membeli mesin jahit?

Kalau baru berkeinginan nak mempunyai mesin jahit, saya cadangkan beli mesin jahit yang tidak terlalu mahal. 

Kemudian beli mengikut keperluan tertentu secara beransur-ansur.

Contohnya, selepas menjahit beberapa helai sarung bantal, anda ingin cuba menjahit baju kanak-kanak pula. Pastikan mesin jahit anda dapat memenuhi keinginan anda tersebut.

5. Beli Terus Di Kedai Atau Peniaga Online Yang Dipercayai

Kalau anda tidak pernah menggunakan mesin jahit, saya sarankan anda membelinya terus di kedai untuk melihat dan mencuba sendiri mesin jahit tersebut.

Biasanya ada orang yang akan mengajar sehingga anda betul-betul faham cara penggunaannya.

Contoh kedai yang ada servis seperti ini ialah kedai Singer dan Spotlight.

Kalau nak beli online pun tidak ada salahnya. Pastikan penjualnya boleh dipercayai dan mempunyai review yang bagus seperti di Shopee dan Lazada.

6. Elakkan Membeli Mesin Jahit Bawah RM100

Jangan terpedaya dengan harga murah.

Kenapa?

Mengikut pengalaman saya sendiri, setiap harga mesin jahit itu mengikut kualitinya. Ada sebab kenapa ada yang mahal dan ada yang murah.

Kalau anda seorang beginner, saya tidak menggalakkan anda membeli mesin jahit seperti dibawah ini untuk digunakan dalam jangkamasa panjang...



Bagi pendapat saya yang pernah menggunakan mesin jahit seperti ini, mesin jahit ini sangat rapuh, diperbuat 90% dari plastik dan rasa seperti mainan.

Bagi yang pertama kali menggunakan mesin jahit, mungkin akan berasa sangat susah nak memasukkan benang di mesin jahit ini. 

Tapi kalau untuk cuba-cuba, tidak salah untuk menggunakan mesin jahit ini. Tapi, jangan bagi harapan yang tinggi yang ianya akan bertahan lama.

Langkah Seterusnya...

Sekarang, gantikan rasa takut itu kepada rasa yakin dan belilah mesin jahit mengikut keperluan yang anda mahukan.

Selepas mesin jahit sudah ada di depan mata, itulah proses awal untuk mula mengenali dunia jahitan.

Sewing goal pertama ialah membina kemahiran jahitan dan menyiapkan projek yang anda idamkan seperti menjahit baju sendiri.

Tapi kalau anda seorang beginner, anda perlu belajar kemahiran asas dahulu. Tidak boleh terus nak menjahit baju.

Jadi, bila nak belajar menjahit? Sekaranglah waktu yang sesuai nak menjahit!

Semoga Bermanfaat!





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 GUNTING FABRIK UNTUK MEMOTONG KAIN

5 TUTORIAL MENJAHIT BEG UNTUK BEGINNER

MENENTUKAN ARAH IRA(GRAINLINE) SEBELUM MEMOTONG KAIN