MENENTUKAN ARAH IRA(GRAINLINE) SEBELUM MEMOTONG KAIN

cara menentukan arah ira kain (grainline)


Salah satu kesilapan yang paling besar dalam jahitan ialah memotong kain ikut suka hati sendiri. Bila baju sudah siap, barulah sedar ada yang tidak kena dengan hasil baju yang sudah dijahit. Nak kata jahitan tak kemas, nampak semuanya rapi. Dimana letaknya kesilapan itu?


Jawapannya ialah anda memotong kain tidak mengikut arah ira kain yang betul.

Kalau anda selalu menggunakan pola yang sudah siap, anda mesti nampak setiap pola mempunyai garisan anak panah yang dipanggil sebagai ‘grainline’.

Grainline juga disebut sebagai ‘ira menegak’ atau ‘ira memanjang’ dalam Bahasa Malaysia.

grainline

Anak panah itu disebut sebagai grainline


Menentukan arah ira kain terutamanya grainline adalah penting. Jika arahnya tersilap sedikit, bentuk pakaian boleh berubah dan kelihatan senget.

Post kali ini saya akan terangkan tentang tiga arah ira kain yang biasa ditentukan sebelum memotong kain iaitu ira memanjang(grainline), ira melintang(crosswise grain) dan ira menyerong(bias).


Bagaimana Menentukan Arah Ira Kain?

Mengetahui arah ira kain merupakan pembelajaran asas dalam jahitan dan inilah langkah terawal yang perlu anda lakukan sebelum mula memotong kain.

Setiap jenis kain mempunyai arah ira kain yang berbeza. Saya akan menjelaskannya secara satu persatu supaya anda mendapat gambaran yang jelas tentang topik ini.


Selvedge(Tepi Kain)

Sebelum kita mengetahui ketiga-tiga arah ira kain, kita kena tahu dahulu bagaimana rupa ‘tepi kain’ yang disebut sebagai selvedge.

Selvedge adalah potongan hujung kain yang sudah ditenun dimana bahagian kain tersebut tidak akan terurai.

Bagaimana kita mengenalpasti selvedge?

Kita boleh tahu kedudukan selvedge melalui:
  • cetakan nama brand.
  • kedudukan lubang-lubang kecil.
  • lebihan benang atau serat kain yang kasar.

Gambar di atas menunjukkan bahagian selvedge di setiap kain.

Arah Ira Kain

Untuk mengenalpasti arah ira kain, anda perlu bentangkan kain yang ingin dijahit. Kemudian, lipatkan kain menjadi dua dan pastikan bahagian selvedge berada dibawah.

Ira Memanjang(Grainline)

Arah ira memanjang adalah selari dengan bahagian selvedge. Bahagian ini adalah bahagian kain yang sangat kukuh dan kuat.

Kedudukan ira memanjang(grainline)

Ira Melintang(Crosswise Grain)

Arah ira melintang adalah 90 darjah daripada kedudukan ira memanjang dan berada di sepanjang lebar kain. Apabila memotong kain mengikut arah ini, bahagian tepi biasanya akan mudah terurai dan tidak kemas.


Kedudukan ira melintang(crosswise grain)



Ira Menyerong(Bias)

Arah ira menyerong adalah diagonal antara ira memanjang dan ira melintang. Bahagian ini mempunyai tahap keregangan(stretchable) yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kedua-dua arah ira tadi. Biasanya di bahagian ini kita selalu memotong bahagian leher/collar.


kedudukan ira menyerong
Kedudukan Ira Menyerong


Cara Meletakkan Pola Dengan Betul

Kalau anda mempunyai pola yang sudah siap, anda pasti nampak garisan anak panah di setiap lukisan pola tersebut. Biasanya, anak panah itu menunjukkan arah ira memanjang ataupun grainline.



cara meletakkan pola



Jarang ada pola yang menunjukkan arah ira melintang dan ira menyerong. Daripada kedudukan grainline inilah kita boleh tahu dimana kedudukan pola yang sebenar.

cara meletakkan pola mengikut grainline
Cara meletakkan pola mengikut grainline


Kedudukan pola seperti ini biasanya diletakkan di atas kain yang tidak bercorak(plain) atau kain yang bercorak abstrak yang kecil atau sekata. Contohnya, kain bercorak polkadot. Anda boleh meletakkan pola di posisi manapun asalkan kedudukan mengikut arah ira memanjang(grainline).


Bagaimana kalau menggunakan kain yang bercorak besar?

Kalau anda menggunakan kain yang bercorak besar, ianya bergantung kepada beberapa perkara iaitu:
  • arah serat kain
  • pola
  • jenis kain atau corak kain
Jika anda menggunakan kain yang mempunyai corak ‘berkaki’, pola yang lebih besar diletakkan terlebih dahulu mengikut arah corak yang diinginkan.

kedudukan pola atas kain corak berkaki
Kedudukan pola di atas kain corak yang ‘berkaki’


Jika anda menggunakan kain yang bercorak kotak-kotak(checked) ataupun berjalur, pola tetap diletakkan mengikut arah ira memanjang(grainline). Tetapi anda perlu berhati-hati supaya coraknya sekata apabila siap dijahit nanti.

cara jahit corak kain berjalur

Contoh jahitan yang mengikut corak kain berjalur


Bagaimana kalau kita mempunyai pola yang berbentuk melengkung?

menentukan pola melengkung




Mula-mula kita pastikan di mana bahagian baju yang paling panjang. Kemudian, letakkan pola tersebut di sepanjang tepi kain yang mengikut arah ira memanjang(grainline).

Kalau boleh, pastikan bahagian baju yang paling panjang mengikut arah ira memanjang(grainline). Kenapa? Sebab arah ira memanjang(grainline) adalah bahagian kain yang paling kukuh dan tidak mudah berubah selepas dipakai, dibasuh dan diseterika beberapa kali pun.

Apa akan terjadi jika tidak memotong kain mengikut arah ira yang betul?

Ketika saya mula belajar menjahit, saya pernah meletakkan pola sesukahati. Ada pola yang mengikut arah ira memanjang dan ada juga yang mengikuti arah ira melintang.

Hasilnya baju saya menjadi senget dan menggelembung. Kadang-kadang pola susah nak dijahit sebab kain sudah berubah bentuk.




Paling malang sekali, ketika itu saya menggunakan kain yang agak memeri(stretchable). Jadi, arah iranya tidak sekata dan membuatkan baju menjadi tidak kemas.

Adakah boleh membuat baju yang mengikut arah ira melintang(crosswise grain)?

Iya boleh terutamanya kalau kain ela yang digunakan mempunyai corak ‘berkaki’. Biasanya kain corak ‘berkaki’ mempunyai corak yang mengikut arah ira melintang.

Jadi, anda boleh mengikut arah ira melintang untuk memotong pola. Dengan syarat, kainnya tidak terlalu memeri(stretchable) dan masih boleh memberikan hasil yang sama seperti ketika memotong pola mengikuti arah ira memanjang(grainline).

contoh corak kain berkaki
Contoh kain corak yang ‘berkaki’


Kesimpulan

Sekarang anda sudah tahu betapa pentingnya mengetahui arah ira kain yang betul terutamanya ira memanjang(grainline).

Dengan mengetahui arah ira kain, kita boleh:
  • memotong kain pola dengan betul.
  • mengetahui berapa panjang kain yang kita perlukan.
  • menghasilkan jahitan yang kemas dan cantik.
Menentukan arah ira kain sebelum memotong kain adalah penting kerana disitulah kita dapat menghasilkan bentuk pakaian yang kemas dan ‘terletak’.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

5 TUTORIAL MENJAHIT BEG UNTUK BEGINNER

5 GUNTING FABRIK UNTUK MEMOTONG KAIN